Wednesday 4 April 2012

CERAKA (Cerita Rakyat Kita) Episod 2: Malaikat Lalu


Sudah 10 minit kami menunggu, maseh tak muncul-muncul lagi cikgu Kajian Tempatan kami. Jam digital plastik aku sudah menunjukkan pukul 12.10 tengah hari, sekaligus memberi isyarat bahawa matahari sudah mula terpacak 90 darjah tepat di atas kepala kami. Kami semua sudah mula kepanasan duduk di dalam bilik darjah ini. Tambah-tambah pula bilik darjah kami ini bilik darjah kayu, bangunan lama sekolah sejak dari zaman datuk kami lagi. Kami juga tidak sabar menunggu waktu pulang kerana perut kami sudah kelaparan. Dan tak lupa juga, kami tidak tahan nak membelasah Air Batu Malaysia yang boleh didapati di kedai runcit Tok Amen.Hanya kerana mengenangkan kepanasan yang menerjah tubuh badan kami.

Sementara menunggu cikgu, kami pun meluangkan masa kami sebentar dengan bermain pepsi kola (sejenis permainan pijak memijak) di belakang kelas, lawan pemadam, lawan pensel Shaker, main ceper (permainan jentik menjentik penutup botol) dan main tepuk daun terup. Yang mat-mat jiwang pula, mereka begitu asyik menulis surat cinta bersama gadis idaman hati yang hanya duduk selang tiga meja dari meja asalnya . Yang kaki skema pula (iaitu ketua kelas), mereka sibuk mencatit nama pelajar-pelajar yang menimbulkan suasana hingar-bingar di dalam bilik darjah. Kami tak peduli nama kami dicatit kerana kami sudah biasa diketuk tampi dihadapan kelas, yang penting kami semua sudah bosan dan hanya menunggu bunyi loceng terakhir untuk pulang.Kami semua terus bermain dengan hati yang girang tanpa menghiraukan ketua kelas kami.

Ketika asyik membuat suasana yang hiruk-pikuk ini, secara serta-merta kami semua terdiam secara serentak. Kami pandang ke pintu takut-takut cikgu yang kami tunggu tadi tiba di hadapan pintu. Rupanya tiada siapa pun di luar bilik darjah. Kami  pandang sesama sendiri kerana pelik bagaimana suasana yang bising ya amat tadi tiba-tiba boleh terdiam seketika. Cukup hairan. Ketika kesemuanya masih pelik memikirkan kejadian alam ini, si Hasan (rakan sekelas) bingkas bangun dan berkata “Alah,malaikat lalu kot”.

Sejak daripada hari itu,jika perkara yang sama berlaku kami hanya bersangka bahawa ‘ada malaikat yang lalu’ di dalam kelas kami. Tiada sangsi lagi bagi kami untuk berkata sedemikian.

4 comments:

  1. aah. dulu aku waktu sekolah pon centu. lagi hebat member member aku kate 'ouhh, malaikat tgh naik skuter'

    ReplyDelete
  2. kau salah.malaikat naik vespa daa

    ReplyDelete
  3. Dulu member aku siap cakap... "Malaikat naik skateboard" sebab time tu scene skateboard tengah menaik

    ReplyDelete
  4. hahaha.yang aku pelik.satu malaysia alami situasi yang sama macam ni.

    ReplyDelete